Finn
Fee



Aksara dari jiwa, ditulis dalam bentuk madah, ini kawasan aku untuk meluahkan yang terpendam.


Instagram
Perang
Monday, 2 June 2014 | 10:22:00 am | 0Comment



Dalam hidup, akan ada sesuatu yang sering menggerakkan kita untuk terus maju kehadapan. Menghadapi hari-hari yang mendatang tanpa ada sekali pun peluang untuk berpatah balik. Merenung kembali hidup aku yang suram, tiada banyak yang boleh aku kenang. Tidak banyak yang boleh aku ceritakan semula kepada seseorang, jika ada yang bertanya. Itupun kalau adalah. Hidup yang aku lalui ketika ini sangat suram. Malah selama ini pun suram juga sebenarnya. Tidak tahulah apa sebenarnya yang mungkin boleh muncul untuk sekurang-kurangnya, menceriakan hidup aku yang malap ini. Hidup untuk semata-mata menyedapkan hati sendiri dan menghadkan diri hanya pada ruang peribadi. Aku dan dunia luar – seolah jiran sebelah rumah yang hanya dipandang enteng. Dalam dunia aku, hanya ada aku, dan hidupku yang suram.

Ironinya begini, ketika orang lain sedang gembira menghabiskan masa kawan-kawan lewat petang, aku pula hanya duduk di kerusi ini saban petang – bersama komputer riba. Ya, rutin aku setiap petang hanyalah duduk di kerusi ini, berseorangan dan leka dengan ketukan jari-jemari di papan kekunci, yang seringkali menaipkan rasa yang selalu berputar.  Kisah yang hanya berputar sekitar aku, orang serumah aku, dan hidup aku. Aku selalunya berpendapat bahawa aku selalunya suka tersalah masuk ke dalam situasi-situasi hidup yang semakin membuatkan aku terus menjadi begini. Tiada apa yang pernah aku buat dan lalui membantu aku untuk keluar dari horizon ini. Aku terus terperangkap dan selalunya bila cuba mencari jalan keluar, aku hanya semakin terperosok ke dalam situasi yang lebih mengharukan. Aku semakin buntu. Dan aku semakin pasrah. Ya mungkin ini ketentuan aku. Aku terima dan aku hampir-hampir saja mahu percaya bahawa inilah aku yang sepatutnya. Inilah yang aku sepatutnya jadi.

Aku gembira melihat orang lain hidup dengan normal. Mampu untuk ketawa riang, mampu untuk menghidupkan jiwa dan rasa, mampu untuk mempunyai corak hidup yang berwarna-warni. Ada suka dan duka. Aku tidak mengharapkan ada sesiapa pun seperti aku yang punyai hidup yang suram sahaja. Jangan. Jangan sekali-kali. Menjadi aku hanya mampu untuk meletakkan diri dalam diri orang lain dan mengambil rasa itu hanya sekadar bayangan. Hanya mampu untuk dirasai secara menumpang. Dan mampu untuk memahami walau tidak permah mengalami. Kerana aku pernah ‘alami’nya dalam diri orang lain. Dan aku rasa itu kelebihannya menjadi aku. Cuma itu, mungkin.

Berperang dengan diri sendiri – konflik yang tidak pernah surut dalam diri aku. Kalaulah aku punya keberanian, kalaulah aku punya pendirian, mahu saja aku suarakan apa saja yang aku mau. Aku tidak perlu takut. Takut aku hanya sepatutnya untuk Dia saja. Bukan manusia. Bukan siapa-siapa. Bukan apa-apa. Aku sebenarnya tahu jalan keluar yang betul untuk keluar dari ruang gelap ini, tapi aku terlalu takut untuk meninggalkan zon selesa ini. Sudah terlalu lama aku berdiam di sini, dan aku sudah lupa perasaan yang sebenar apabila gembira, apabila sedih, apabila bergaduh, bergurau senda dengan manusia, dan aku sudah betul-betul lupa apa rasanya apabila ketawa itu benar-benar lahir dari hati yang terasa.. ‘hidup’.


Ada sesuatu dalam hati yang seringkali berbisik..ini bukanlah sesuatu yang aku sepatutnya jadi. Aku tahu dan aku benar-benar tahu aku ada peluang itu. Dan berkata tentang peluang – peluang  tidak selalu hadir.