Alasan
Saturday, 13 September 2014 | 7:48:00 am | 0Comment
Dan diambil dalam keadaan tak sempurna, dan ditinggalkan dalam keadaan semakin tak sempurna. Hanyut dalam sungai seribu satu perasaan. Adakah patut ku pujuk lagi, dan minta sedangkan hari ini aku semakin lelah. Jujur aku katakan aku mahu angkat topeng menutup segala cacat cela dan luka. Menutup segala emosi mencengkam jiwa. Aku kehilangan pasak. Aku kehilangan tongkat. Aku tak mampu berjalan. Yang tinggal hanya rebah. Hanya lelah.
Wajah hodoh ini harus disiat cuma. Gantikan dengan topeng gembira. Aku tak mahu lagi menahan paksa. Aku benci kekurangan diri. Aku benci. Aku benci kegagalan. Aku benci kekecewaan. Sumpah sakit menikam otak bertubi-tubi datang lagi. Dan kali ini aku sendiri. Tanpa ubat penenang lagi. Lelah. Perit. Sakit. Aku.. aku mampu menjeda rasa atau tidak. Atau mampukah aku meletakkan noktah. Perlukah aku meletakkan segalanya atas alasan untuk bahagia.
Andai nanti tanpa sengaja aku menekan butang main semula adakah rasa ini akan datang menyerbu dan menyesakkan tubir mata lagi. Mainan rasa akan berlegar dalam ruang hati dan fikiran. Atau harus sahaja nanti aku meletakkan segala kisah yang tertulis dalam setiap lembaran kali ini pada mesin paper shredder. Biar menjadi helaian halus yang sukar untuk aku cantum kembali dan biarkan terus terhapus bersama lembaran lalu.
Aku, aku penat. Aku mempelajari sendiri. Aku masih mencari jalan. Masih cuba memegang remote kawalan supaya tidak tersasar. Agar semuanya kekal dan tetap. Tiada lagi air mata luka dan duka. Namun aku tahu aku harus sedia dengan paper shredder juga. Butang pause akan digunakan. Begitu juga dengan titik noktah. Masa itu aku tak perlu penting diri, hati aku tak larat nak luka. Dia kena kuat. Aku lakukan atas alasan untuk bahagia.
Semua terjadi ada sebabnya. Aku harus belajar. Aku harus menerima mahu atau tidak. Aku kena teguhkan pasak yang sudah lama aku goyahkan. Aku harus berpijak atas realiti. Aku bukan di alam mimpi. Ii bukan permainan. Ini bukan mimpi. Aku berdepan dengan kehidupan. Realiti yang tak pernah tidak kejam terhadap aku dari dahulu. Dan ini adalah ujian. Ini adalah salah satu halangan dalam laluan mencari bahagia.